Guru edar dadah idam hidup mewah

BATU PAHAT: Seorang guru sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, di sini, ditahan polis, Rabu lalu selepas dipercayai mengedar dadah secara sambilan kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan bergaya.

Guru lelaki berusia 31 tahun itu baru berjinak-jinak dalam pengedaran dadah kira-kira dua bulan lalu dan menggunakan kereta Proton Savvy miliknya untuk menghantar sendiri bekalan apabila menerima tempahan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata kegiatan guru lelaki itu akhirnya dihidu polis apabila dia ditahan kira-kira jam 10 malam dalam satu sekatan jalan raya di sekitar daerah ini, Rabu lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat seorang guru menjadikan keretanya sebagai tempat

menyimpan dan membawa bekalan dadah kepada pelanggan.

Katanya, dalam sekatan jalan raya itu, kenderaan guru terbabit ditahan polis dan hasil pemeriksaan yang dilakukan polis menemui satu paket dadah dipercayai jenis heroin seberat 16.6 gram di dalam keretanya.

"Pemeriksaan ke atas lelaki itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Namun, dia mengaku menjual dadah dengan alasan mahu menambah pendapatan. Hasil siasatan juga mendapati guru berkenaan masih bujang dan sudah mengajar di SJKC itu sejak sembilan tahun lalu," katanya di sini, semalam.

Ibrahim berkata, lelaki terbabit kini ditahan reman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, empat lelaki ditahan di sebuah rumah di Kampung Solok Wan Moh, di sini, pada jam 1.40 pagi kelmarin, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

"Hasil maklumat orang ramai, polis membuat serbuan di rumah itu dan menahan empat lelaki berusia antara 24 dan 33 tahun.

"Pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan dua paket dadah dipercayai heroin seberat 528 gram bernilai kira-kira RM14,000. Semua lelaki itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Berita Harian Online: 20 Februari 2010

POlis, guru antara 44 ditahan di pusat hiburan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis dan guru adalah antara 44 orang yang ditahan kerana memiliki dan didapati positif dadah ketika sebuah pusat hiburan yang terletak di kawasan perumahan di Tanjung Malim, Perak diserbu pagi kelmarin.

Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim itu ditahan kerana positif dadah, manakala tiga lagi rakannya yang juga anggota polis turut ditahan kerana berada di pusat itu.

Tiga anggota polis itu bakal berdepan tindakan tunjuk sebab berhubung tujuan mereka berada di pusat hiburan berkenaan.

Operasi kira-kira jam 4.45 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bukit Aman yang diketuai Deputi Superintendan Aida Abdul Hamid menyerbu pusat hiburan yang terletak di kawasan rumah kedai dua tingkat, Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim serta menahan 44 orang, termasuk 14 wanita kerana positif dadah jenis syabu, ecstacy dan ketamin.

Sumber polis berkata, guru berusia 27 tahun dari Sekolah Kebangsaan Trolak itu ditahan kerana memiliki dadah ecstacy.

Turut ditahan dalam serbuan itu ialah dua lagi lelaki, termasuk pengurus pusat hiburan berkenaan kerana memiliki dan menjual dadah kepada pengunjung pusat terbabit.

Polis juga mengesan taktik pengunjung pusat itu yang membawa sampel air kencing dari luar yang dipercayai bebas dadah bertujuan untuk digunakan ketika serbuan dibuat.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Slim River untuk tindakan lanjut dan bagi pengunjung yang disahkan positif dadah akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala pengunjung yang ditahan kerana memiliki dadah akan disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama.

Sumber itu berkata, serbuan yang berakhir kira-kira jam 7 pagi itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada penduduk setempat berhubung kewujudan pusat hiburan yang beroperasi sehingga jam 7 pagi setiap hari sehingga mengganggu ketenteraman awam di kawasan sekitar serta dibuka berhampiran dengan Masjid Behrang.

Polis juga sedang menyiasat lesen pusat hiburan itu yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pusat hiburan itu juga sebelum ini dikatakan pernah diserbu dua kali oleh polis daripada IPD Tanjung Malim pada 13 dan 16 Februari lalu dan berjaya menahan tiga pengunjung yang disahkan positif dadah.

Sementara itu, seorang lelaki bertindak melarikan diri ke atas bumbung sebuah bangunan tiga tingkat yang menempatkan pusat karaoke di ibu negara selepas pusat itu diserbu sepasukan polis dari Bukit Aman kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Lelaki berusia 45 tahun itu, bagaimanapun berjaya ditahan polis dan hasil pemeriksaan polis menemui beberapa biji pil dadah dipercayai eramin 5 untuk dijual kepada pengunjung pusat itu dan sejumlah wang tunai.

Lelaki itu ditahan bersama-sama 39 pengunjung lain yang terdiri daripada 31 lelaki dan lapan wanita termasuk seorang remaja perempuan berusia bawah 18 tahun. Ketika pemeriksaan, kira-kira 100 pengunjung berada di pusat itu dan kesemua yang ditahan di bawa ke IPD Cheras untuk siasatan lanjut.

Pusat itu yang dibuka sejak setahun lalu dipercayai menjadi tumpuan golongan elit serta menjadi tempat pengedaran dadah di kalangan pengunjung pusat berkenaan. - Bernama

Berita Harian Online: 21 Februari 2010

Guru Sains Disyaki Edar Dadah Akan Digantung Kerja

KUALA LUMPUR: Guru Sains Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, Batu Pahat yang ditahan polis, Rabu lalu selepas dipercayai mengedar dadah bakal berdepan tindakan digantung kerja, dipindahkan atau dibayar separuh gaji.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata tindakan pentadbiran serta merta yang dikenakan kepada guru terbabit membuktikan Kementerian Pelajaran tidak pernah bertolak ansur kepada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej profesion perguruan di negara ini.

"Kita masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Pelajaran Johor sebelum dapat melakukan sebarang tindakan susulan ke atas guru berkenaan dan kemungkinan laporan penuh akan diperoleh Isnin ini. Sebaik saja kita peroleh secara terperinci, barulah kita dapat mengambil tindakan.

"Antaranya, dia (guru terbabit) boleh dikenakan tindakan pentadbiran iaitu digantung kerja, ditukarkan serta merta dan di bayar separuh gaji. Semua itu bergantung kepada laporan yang bakal kita peroleh kelak," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Seorang guru sains SJKC di Rengit di Batu Pahat ditahan polis, Rabu lalu selepas dipercayai mengedar dadah secara sambilan kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan bergaya.

Guru berusia 31 tahun itu baru saja berjinak-jinak dalam pengedaran dadah kira-kira dua bulan lalu dengan menggunakan kereta Proton Savvy miliknya untuk menghantar sendiri bekalan apabila menerima tempahan dan ditahan kira-kira jam 10 malam dalam satu sekatan jalan raya di sekitar daerah Batu Pahat.

Alimuddin berkata, pihaknya memandang serius kejadian seumpama itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan profesyen perguruan yang selama ini dipandang tinggi di kalangan masyarakat.

"Dadah adalah musuh utama negara dan dia sebagai seorang pendidik tidak sepatutnya bertindak sebegitu," katanya. Kita kesal dengan kejadian ini kerana ia bukan saja mencemarkan imej perguruan tetapi turut menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat setempat terhadap peranan guru.

"Sepatutnya dia cuba membimbing generasi muda mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan bukannya dia sendiri bertindak membekalkan bahan itu kepada pihak lain. Justeru, kita memandang serius perkara ini dan berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya kepada individu terbabit," katanya.

Berita Harian Online: 21 Februari 2010

Pelajar Bengkak Pipi Ditampar Guru

JASIN - Gara-gara dituduh ponteng sekolah, seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dang Anum mendakwa ditampar seorang guru lelaki sebanyak lima kali di pipi sehingga bengkak.

Pelajar terbabit, Imran Mahfuz, 15, berkata, selepas perhimpunan pada pagi Isnin lalu iaitu kira-kira pukul 9 pagi, dia mencari kawan-kawannya di padang kerana ketika itu waktu Pendidikan Jasmani (PJ).

Menurutnya, melihat rakan-rakannya tiada di padang, dia terus ke kantin sekolah untuk mencari mereka di sana.

"Ketika melalui gelanggang bola tampar, seorang guru lelaki memanggil saya dan bertanya saya dari mana. Saya memberitahu saya dari padang kerana ketika itu waktu PJ tetapi tiada pelajar lain di padang.

"Namun guru ini tidak percaya dan menuduh saya ponteng dan berbohong lalu mencekak kolar baju dan menampar saya sebanyak dua kali di pipi kiri," ceritanya.

Imran mendakwa, guru berkenaan kemudiannya mengheretnya ke bahagian belakang bangunan dan menamparnya sebanyak dua kali lagi kerana dituduh memanjat pagar sekolah.

"Saya kemudian dibawa ke bilik guru dan ditampar sekali lagi di hadapan guru lain walaupun berulang kali saya menafikan dakwaannya," katanya.

Kata Imran, akibat ditampar, bibirnya pecah dan pipi kirinya bengkak sehingga sukar untuk makan.

Kosmo Online: 22 Oktober 2009

Ustaz Naik Hantu

PUTRAJAYA: Kesabaran seorang ustaz terhadap sikap anak muridnya yang dipendam sejak enam bulan lalu tiba ke kemuncaknya kelmarin, apabila pelajar tingkatan lima itu mendakwa ditumbuk beberapa kali oleh guru agama terbabit menyebabkan keningnya terkoyak dan berdarah.

Sebelum kejadian, pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Farouk mendakwa dipanggil ustaz berkenaan yang juga guru disiplin sekolah sebaik selesai perhimpunan pagi.

Bagaimanapun, ustaz itu didakwa hanya mendiamkan diri menyebabkan dia berjalan terus ke bilik darjah bersama rakan lain.

Namun, ustaz terbabit yang memegang sebilah gunting mengikut mangsa ke kelasnya sebelum ‘mengamuk’ dengan menendang beberapa kerusi dan meja serta menarik bahu dan menumbuk Farouk, kira-kira jam 7.45 pagi.

Kejadian hampir lima minit yang disaksikan rakan sekelas mengejutkan mangsa yang tidak dapat berbuat apa-apa sebelum cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke pejabat pengetua bagi mengelak terus dibelasah ustaz berkenaan.

Pelajar Sekolah Menengah Teknik Cheras itu, mendakwa dia terkejut dengan tindakan melulu guru agama itu yang memukul tanpa sebab sebaik selesai perhimpunan pagi.

Menurutnya, dia kembali ke kelas bersama rakan apabila ustaz terbabit hanya berdiam diri selepas memanggil namanya pada perhimpunan pagi itu.

“Ustaz kemudian memasuki kelas melalui pintu belakang dan menendang beberapa kerusi selain mengarahkan rakan kelas lain beredar ke tepi sebelum menarik bahu dan menumbuk saya bertubi-tubi sehingga kening kiri berdarah.

“Saya terkejut dan tidak dapat mempertahankan diri kerana kejadian berlaku terlalu pantas dan hanya menyedari kening tercedera apabila darah meleleh di pipi sebelum cuba berlari menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Taman Desa Makmur, Sungai Merab, dekat sini, semalam.

Farouk mendakwa ketika melarikan diri ke bilik pengetua, ustaz terbabit sempat memekik dan mencabarnya melaporkan kejadian itu kepada ibu bapanya.

Dia kemudian menggunakan telefon di bilik pengetua untuk menghubungi ibu bapanya yang kemudian bergegas ke sekolah bagi mengetahui kejadian sebenar.

“Saya dibawa ke sebuah klinik swasta berhampiran sekolah oleh guru bagi mendapatkan rawatan,” katanya yang masih trauma dengan serangan mengejut ustaz terbabit.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, dia tidak mengetahui punca ustaz itu menumbuknya, tetapi pernah mendengar guru agama terbabit mengeluarkan kata-kata sinis terhadapnya.

“Apa yang saya tahu, ustaz sentiasa meluahkan kata-kata sinis seperti ‘kau tak akan lulus SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tahun ini dan gelap masa depan kau’ setiap kali berselisih dengannya.

“Memang saya sedih apabila ada guru seolah-olah mendoakan kegagalan anak muridnya sendiri,” katanya yang akan menduduki peperiksaan SPM, pertengahan bulan ini.

Difahamkan, sebelum ini, beberapa rakan mangsa turut mendakwa dipukul ustaz terbabit, tetapi kejadian itu tidak pernah dilaporkan kepada ibu bapa atau pihak sekolah kerana tiada bukti kukuh.

Sementara itu, bapa mangsa, Rohaizin Sulaiman, 46, berkata dia dan isteri kesal dengan kejadian selain bimbang dengan keselamatan Farouk, lebih-lebih lagi apabila memikirkan peperiksaan SPM semakin hampir tiba.

Menurutnya, dia sedih apabila ustaz yang sepatutnya membimbing anak muridnya sanggup bertindak di luar batasan dan bimbang kejadian sama akan berulang.

“Saya memberi kepercayaan penuh kepada guru untuk membantu dan mendidik anak-anak, tetapi jika ini yang berlaku sukarlah bagi kami mempercayai mereka,” katanya yang juga seorang kakitangan kerajaan.

Rohaizin berkata, dia juga ingin mengetahui kesalahan dilakukan anaknya sehingga diperlakukan sedemikian rupa.

“Sebagai ustaz, menjadi tanggungjawab untuk menegur pelajar mereka jika ada perkara yang tidak baik dilakukan pelajar dan bukannya dengan menumbuk pelajar terbabit sehingga tercedera.

“Walaupun ustaz itu ada meminta maaf di depan pengetua, guru hal-ehwal murid dan warden sekolah, saya tetap membuat laporan polis untuk keselamatan anak saya,” katanya.

Rohaizin berkata, dia membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi, dekat sini, petang kelmarin.

“Saya bukan berdendam dengan ustaz itu, tetapi sebagai pengajaran supaya kejadian sama tidak berlaku pada pelajar lain, pada masa sama mengelak guru mengambil tindakan luar batasan terhadap pelajarnya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Balai Polis Bandar Baru Bangi, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian yang membabit pelajar terbabit.

myMetro: 6 November 2009

Cikgu Paparazi

JOHOR BAHRU: Misi sekumpulan guru yang terpaksa menjadi ‘paparazi’ selama hampir dua bulan bagi menangani masalah pelajar ponteng di sebuah sekolah di bandar raya ini berjaya merakamkan kira-kira 50 gambar dan video pelajar terbabit melakukan pelbagai kegiatan tidak berfaedah dan bermoral termasuk menonton filem lucah beramai-ramai.

Semuanya akan dijadikan bahan bukti untuk didedahkan pada ibu bapa, sekali gus membuka mata mereka berhubung sikap sebenar anak masing-masing di sekolah berbanding ketika di rumah.

Pengurusan Sekolah Menengah Tun Syed Nasir di sini, terpaksa mengambil pendekatan berbeza daripada kebiasaan itu bagi membendung gejala ponteng di kalangan pelajar sekolah berkenaan yang meruncing terutama pada beberapa hari terakhir sebelum tamat penggal persekolahan 2009, Jumaat lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Abdullah Abdul Rahman, berkata langkah itu terpaksa diambil memandangkan timbul keresahan di pihak sekolah dan ibu bapa berikutan bilangan pelajar sekolah berkenaan ponteng pernah mencecah kira-kira 100 orang setiap hari.

Katanya, bilangan pelajar di sekolah berkenaan kira-kira 2,000 orang, namun gejala ponteng sekolah tidak sepatutnya diberi pengecualian dengan mengambil kira jumlah keseluruhan pelajarnya, kerana ia ibarat barah yang boleh merosakkan badan manusia jika tidak dirawat di peringkat awal.

“Sekumpulan guru yang ditugaskan mengawasi pergerakan kumpulan pelajar yang disyaki sebagai kaki ponteng dengan menjadikan lorong berhampiran kawasan sekolah sebagai tempat melepak merakam pelbagai aksi mengejutkan kami.

“Mereka bukan saja berfoya-foya, malah ada yang melepak di kediaman rakan sehingga tamat waktu persekolahan dengan bermain terup, merokok, melakukan vandalisme dan paling mengejutkan ialah menonton filem lucah beramai-ramai,” katanya selepas Seminar Budaya Lepak, Maksiat dan Jenayah di sekolah berkenaan, kelmarin.

Majlis dirasmikan Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor yang turut menyampaikan sijil kepada peserta.

Abdullah berkata, semua gambar dan rakaman itu akan dipertontonkan kepada ibu bapa terutama bagi mereka yang tidak mengakui kesalahan anak masing-masing atau tidak menyedari perbuatan anak-anak terbabit dengan gejala ponteng sekolah.

“Tindakan ini bukan untuk membuka pekung sesiapa, tetapi lebih kepada menimbulkan kesedaran kepada pihak terbabit dan menunjukkan pihak sekolah berusaha melakukan sesuatu bagi membendung gejala ponteng sekolah di kalangan pelajar,” katanya.

Menurutnya, PIBG merancang melakukan pemeriksaan mengejut di lokasi yang dikenal pasti sebagai ‘port’ pelajar ponteng sekolah menghabiskan masa dengan membawa bersama ibu bapa pelajar yang disyaki.

Menurutnya, ibu bapa harus sedar peranan mereka juga penting dalam memastikan anak-anak yang keluar rumah pada hari persekolahan, benar-benar sampai di sekolah dan tidak melencong ke tempat lain.

“Hasil rakaman dan gambar itu membantu kami mengurangkan kes pelajar ponteng sekolah, di mana rekod terakhir menunjukkan bilangan pelajar ponteng sekolah ialah kira-kira 30 orang berbanding 100 sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nor berkata, pihak pentadbiran sekolah dan guru harus memainkan peranan bagi membendung masalah pelajar ponteng sekolah.

Katanya, polis sentiasa membuka pintu kepada pihak sekolah untuk mendapatkan pandangan dan nasihat berhubung tindakan ke arah membendung gejala tidak sihat membabitkan pelajar.

“Gejala ponteng sekolah tidak seharusnya berlaku di mana-mana dan pada bila-bila masa. Apabila lebih 100 orang dikatakan ponteng sekolah setiap hari, ia sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera,” katanya.

myMetro: 24 November 2009

Pelajar Tampar Muka Cikgu

NIBONG TEBAL: “Jika saya tak mahu keluar, awak hendak buat apa?“. Itu jawapan biadab seorang pelajar tingkatan empat kepada guru sebuah sekolah menengah di sini, yang mengarahkan dia dan dua lagi rakannya keluar kelas.

Lebih mengejutkan lagi apabila pelajar berusia 16 tahun itu menampar pipi gurunya yang berusia 28 tahun itu.


Dalam kejadian 12.45 tengah hari Selasa lalu, pelajar terbabit bersama dua rakannya memasuki sebuah kelas ketika itu guru wanita berkenaan sedang mengajar.


Tanpa menghormati guru berkenaan dan mempedulikan pelajar lain, tiga pelajar berkenaan membuat bising sebelum guru terbabit mengarahkan mereka keluar dari kelasnya.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Superintendan Shafien Mamat, berkata apabila arahan berkenaan tidak diendahkan, guru berkenaan menampar pipi salah seorang pelajar terbabit sebelum dia membalasnya.

“Malah, salah seorang pelajar kumpulan itu bertindak ganas apabila membaling kerusi plastik ke arah guru berkenaan tetapi dia berjaya mengelak.


“Melihatkan itu, seorang pelajar lagi menarik kedua-dua rakannya beredar keluar dari kelas itu sebelum guru berkenaan membuat aduan kepada pengetua yang mintanya membuat laporan polis,” katanya.


Menurutnya, sehari selepas kejadian atau pada 13 Januari lalu, pelajar yang menampar guru berkenaan dibawa ahli keluarganya menyerah diri kepada polis dan bermalam di lokap selama sehari sebelum dia dijamin bapanya keesokannya.

myMetro: 15 Januari 2010

Saya Mencemburui Gaji Guru

Oleh WAHID HASHIM
pendidikan@utusan.com.my

SAYA mencemburui guru muda kerana gaji permulaan mereka sekarang berada dalam ranking ketiga selepas doktor dan jurutera awam. Dengan gaji permulaan sebanyak RM2,500 hingga RM2,700 - termasuk beberapa elaun - maka gaji pokok mereka sebenarnya mengatasi sebahagian besar pendapatan eksekutif syarikat swasta.

Kalau di pedalaman, mereka cuci kaki kerana kerajaan menyediakan rumah, televisyen katil tilam, dapur, malah khabarnya set televisyen dan 'mangkuk' Astro di bumbung! Bukan itu sahaja, guru juga ada elaun khas, dengan jumlahnya bergantung kepada tafsiran pedalaman tempat mereka mengajar.

Memang mereka bekerja keras. Tetapi, seribu satu pengumuman tentang kenaikan, elaun, kebajikan, kemuliaan, pengiktirafan dan penghormatan kepada golongan guru sepatutnya telah meletakkan profesion itu pada tahap yang sepatutnya sekarang.

Seperti kata Abraham Lincoln: ''Jangan fikir apa yang negara boleh beri kepada kita, tetapi fikirkanlah apa sumbangan yang boleh kita berikan kepada negara."

Maksud tokoh itu, jangan seperti seekor burung yang keluar pagi balik petang, sekadar mahu mengisi perut sendiri dan untuk anak-anaknya. Berfikirlah lebih daripada itu. Perjuangan lebih penting.

Jadi, apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu bersemuka dengan ahli kesatuan dan beberapa guru yang terlalu ghairah memperjuangkan nasib guru, maka saya ingin mengingatkan 'kepala-kepala' persatuan dan kesatuan ini supaya bersedia dengan fakta dan hujah yang waras dan logik atau laras senapang mungkin akan menghala ke arah kepala anda sendiri!

Dua isu besar yang selalu dibangkitkan ialah kerja perkeranian nan remeh temeh sehingga menambah beban seorang guru, dan kedua kenaikan gred atau mata gaji yang terlalu lembap oleh guru, apabila dibandingkan dengan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD).

Memang isu yang pertama selalu bermain di bibir, tetapi tidak ada kes, data atau contoh yang boleh dijadikan asas kukuh untuk Kementerian Pelajaran melakukan tindakan susulan.

Kita perlu perhalusi bukti dan fakta. Kalau dikatakan kerja berlebihan, maka kerja lebih yang bagaimana, apa dan di mana? Nyatakan bukti dan skop. Lakukan analisis keperluan atau analisis jurang profesion. Kemukakan kertas lengkap kepada pejabat Menteri Pelajaran.

Apakah berlebihan seandainya seorang guru diminta membuat plan tindakan kecemerlangan pelajar kalau pelan itu boleh membantu meningkatkan prestasi sesebuah sekolah?

Kini sudah terdapat seramai 400,000 guru yang mendidik anak-anak kita di seluruh negara. Dalam setandan, ada sebiji yang rosak. Bukan semua. Kita faham benar dengan kekecewaan guru khususnya apabila isu tentang kenaikan gaji yang lembap disuarakan.

Memang benar kenaikan sebahagian besar gaji memang lembap berbanding PTD. Seorang ibu yang sudah 25 tahun menjadi guru mungkin baru menikmati mata gaji DG48, berbanding anaknya, pegawai PTD yang baru lima tahun berkhidmat sudah menikmati tangga gaji itu.

Untunglah kalangan guru yang cepat naik pangkat, kerana cepat jugalah kenaikan tangga gaji mereka. Bagi yang di bawah Khusus Untuk Penyandang (KUP) atau mengikut tempoh perkhidmatan, maka terpaksalah menunggu sehingga beranak, bercucu dan bercicit.

Tetapi perlulah juga diingatkan bahawa bagi setiap kenaikan gaji, maka ada beban tanggungjawab yang menyusulinya.

Maksudnya, mereka ini mungkin perlu diikat dengan konsep bai'ah. Pengetua dan guru besar mungkin sudah biasa dengan konsep bai'ah, tetapi belum bagi guru.Di bawah konsep bai'ah, pengetua atau guru besar membuat perakuan dan bersetuju bahawa dalam tempoh tiga tahun perlu ada peningkatan prestasi di sekolah mereka mengajar. Jika gagal, mereka mungkin 'dipencenkan' lebih awal.

Sekarang, guru tidak mempunyai komitmen atau akujanji terhadap pencapaian prestasi. Hal ini mungkin menyebabkan mereka goyang kaki.

Memang kita faham benar akan beban kerja guru dan pada masa yang sama masyarakat menuntut guru melakukan yang terbaik untuk mendidik anak bangsa. Namun, kalau kita percaya bahawa perbuatan baik dan kerja yang ikhlas akan dibalas dengan perkara yang baik juga, maka pasti kepentingan perjuangan kita akan mengatasi habuan dunia yang sementara ini.

Utusan Malaysia Online : 29 Mac 2010

Lapan Murid Perempuan Dakwa Dicabul Ustaz Gatal

TANGKAK: Sekurang-kurang lapan murid perempuan Tahun Empat mendakwa menjadi mangsa cabul apabila bahagian paha dan alat sulit diraba serta buah dada mereka diramas oleh seorang ustaz yang mengajar al-Quran dalam kelas pendidikan Islam di sebuah sekolah, dekat sini, 1 Februari lalu.

Kejadian terbongkar selepas sekumpulan murid perempuan itu membuat aduan kepada guru kaunseling sekolah berkenaan mengenai perbuatan ustaz berusia 30-an berkenaan ketika sesi persekolahan kelmarin.

Berikutan itu, keluarga lapan murid terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 8 malam kelmarin dan awal pagi semalam, dan semua murid berkenaan turut dibawa membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Tangkak (HT).

Difahamkan, ramai lagi murid sekolah itu turut menjadi mangsa ustaz terbabit dan siasatan kini masih dijalankan bagi mengenal pasti jumlah sebenar mangsa.

Seorang ibu mangsa, berusia 41, berkata beliau tidak menyangka perubahan sikap anak bongsunya yang seolah-olah trauma dan takut untuk ke sekolah sejak awal tahun ini mempunyai kaitan dengan perbuatan ustaz yang didakwa mencabul anaknya.

Katanya, sebelum ini anaknya sering menangis dan memberi alasan tidak sihat untuk ke sekolah dan keadaan itu semakin ketara sejak awal bulan ini menyebabkan beliau menghantar anaknya mendapatkan rawatan di klinik swasta tetapi disahkan tidak menghidap sebarang penyakit.

"Akhirnya selepas berulang kali dipujuk, akhirnya anak saya mendedahkan bahawa seorang ustaz di sekolahnya meraba badannya dan meramas buah dadanya sehingga beliau takut dan sering menangis," katanya di HT, di sini semalam.

Beliau berkata, anaknya turut memaklumkan bahawa ustaz itu sudah melakukan perbuatan itu sejak tahun lalu dan semakin serius sejak sesi persekolahan tahun ini sehingga menyebabkan anaknya sentiasa trauma untuk ke sekolah dan sering demam.

Seorang bapa mangsa, berusia 42, pula berkata perbuatan ustaz itu terbongkar selepas anaknya bersama beberapa lagi rakannya mengadu kepada seorang guru kaunseling sekolah berkenaan.

Katanya, anaknya mendakwa ustaz itu merabanya sehingga paha ketika mengajar kelas tambahan untuk meningkatkan kemahiran membaca al-Quran yang diadakan pada setiap Isnin.

"Susulan itu saya menghubungi ibu bapa keluarga lain yang kemudian turut dimaklumkan bahawa anak mereka turut menjadi mangsa ustaz yang turut digelar sebagai ustaz gatal di sekolah berkenaan menyebabkan mereka bertindak membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kes itu dan siasatan sedang dijalankan.

Berita Harian Online: 12 Februari 2010

Kisah Muka Pelajar Dicakar Guru

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my
2010/03/03


KANGAR: “Anak bongsu saya pernah demam selepas didenda ketuk ketampi guru berkenaan tetapi saya berdiam diri. Kali ini, saya betul-betul kecewa apabila melihat pipinya berdarah dipercayai dicakar guru yang sama. “Malangnya guru berkenaan sanggup bertegang urat dengan saya dengan menafikan melakukan perbuatan itu dan mendakwa luka di pipi disebabkan terkena kotak pensel,” kata Zakaria Kasa, 39, bapa kepada Zaidi Putra, murid Tahun Satu sebuah sekolah rendah di Sanglang, semalam.


Beliau berkata, dalam kejadian jam 8.40 pagi Selasa minggu lalu, Zaidi, 7, luka di pipi kanan selepas terkena kuku guru wanita berusia awal 50-an didakwa bertindak mencakar muka anaknya. Katanya, guru yang mengajar subjek Bahasa Inggeris itu dikatakan bertindak demikian selepas berang apabila Zaidi gagal menyiapkan kerja sekolah, namun guru berkenaan menafikan melakukan perbuatannya itu dan guru besar menghubunginya semalam meminta maaf.


“Zaidi menangis ketakutan dan enggan menyatakan punca luka di bawah matanya ketika dia ke sekolah selepas kejadian.


“Pada jam 2 petang hari sama, saya ke sekolah sekali lagi menghantar makanan dan Zaidi masih menangis memaklumkan luka di atas pipi disebabkan terkena kuku guru berkenaan.


“Guru itu sebaliknya menyalahkan anak saya yang dikatakan nakal dan mendakwa luka terbabit akibat terkena kotak pensel jenis kain milik Zaidi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Belati, Simpang Empat.

Zakaria membawa keluar Zaidi walaupun belum selesai sesi sekolah tambahan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan bertindak membuat laporan di Balai Polis Simpang Empat, jam 4 petang pada hari kejadian.


Dia turut memaklumkan perbuatan guru berkenaan kepada Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat, tetapi jabatan berkenaan enggan mengulas lanjut kerana kes itu menjadi kes polis.


Tinjauan Harian Metro semalam mendapati kesan luka di pipi Zaidi jelas kelihatan walaupun sudah seminggu. Zakaria seorang petani dan baru menduduki rumah percuma ‘Mesra Rakyat’ pemberian kerajaan.


Beliau mempunyai seorang lagi anak, Nuralia Natasha, 10, yang belajar di sekolah sama dan tidak hadir ke sekolah sejak seminggu lalu.


Malah, pihak pentadbiran sekolah tidak pernah menghubungi keluarga itu bagi menanyakan sesuatu mengenai kes terbabit serta perkembangan kedua-dua pelajarnya yang tidak bersekolah.

Zakaria berkata, selepas kecewa dengan sikap guru dan kurang perhatian pihak sekolah, beliau mengambil keputusan menukarkan kedua-dua anaknya ke sekolah lain dan mengambil surat berhenti sekolah semalam.


“Guru besar sekolah menghubungi saya semalam untuk memohon maaf ke atas kejadian menimpa Zaidi dan saya tidak berpuas hati kerana permohonan maaf bukannya daripada mulut guru terbabit,” katanya.


Beliau berkata, dia berdiam diri apabila Zaidi demam selepas dikenakan denda ketuk ketampi oleh guru sama baru-baru ini dan paling menyedihkan guru berkenaan pernah menulis `anak kamu malas’ dalam buku kerja sekolah anaknya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, mengesahkan polis menerima aduan daripada Zakaria dan siasatan dilakukan.


Seperti yang umum tahu, bidang perguruan merupakan satu cabang bidang yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Tetapi, kita sebagai guru haruslah bijak mengendalikan kerenah pelajar dengan bijak dan jangan bertindak mengikut emosi kita.

visitors...

Followers

myblackforest

myraspberry...


This Flash Player was created @ FlashWidgetz.com.

http://www.flashwidgetz.com/playlist/PLTP8YIT38BU131AHE