Kena tampar lewat 10 minit

SUBANG JAYA: Hanya 10 minit lewat tiba ke sekolah, seorang murid Tahun Tiga Sekolah Kebangsaan Pusat Bandar Puchong 2, di sini bukan saja mengalami trauma, malah pendengaran telinga kanannya turut terjejas selepas ditampar guru disiplinnya kelmarin.

Ibunya, Kavitah Vathamalai, mendakwa tindakan melampau guru itu hanya diketahuinya selepas anak perempuannya yang berusia sembilan tahun mengadu telinga kanannya sakit hingga mengalami kesukaran untuk tidur, selain demam.

“Bila diperiksa, telinga kanannya didapati bengkak. Bagi mengelak keadaan lebih teruk, saya terus membawanya mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Pada mulanya, dia cuba merahsiakan apa yang berlaku.

“Bagaimanapun, selepas didesak berulang kali, dia akhirnya mengaku ditampar guru disiplin pada sesi perhimpunan kerana lewat hadir ke sekolah,” katanya kepada pemberita semalam sambil memberitahu anaknya disahkan mengalami kecederaan dalaman di telinga kanannya.

Beliau menganggap tindakan guru terbabit sebagai tidak wajar, lebih-lebih lagi selepas anaknya menjelaskan sebab kelewatannya tiba di sekolah.

“Lagipun, anak saya seorang perempuan. Saya pun tidak tahu apa yang difikirkan oleh guru terbabit ketika mengambil tindakan itu. Sedangkan, kesalahan dilakukannya cuma tiba lewat 10 minit ke sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu sudah ke sekolah anaknya untuk mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila tidak dilayan oleh guru besarnya, selain dihalang bertemu guru disiplin terbabit.

“Sebagai ibu, saya mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan berhubung kejadian itu. Bagaimanapun, guru besar terbabit tidak memberi kerjasama sepatutnya, malah tidak mahu mengalah langsung dan mempertahankan tindakan guru disiplinnya,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau membuat laporan berhubung kejadian berkenaan di Balai Polis Bukit Puchong kira-kira jam 9.30 pagi semalam.
“Insiden ini akan turut dimaklumkan kepada Kementerian Pelajaran. Semua tindakan ini saya buat untuk memastikan anak saya mendapat keadilan, selain sebagai peringatan kepada guru terbabit supaya tidak sewenang-wenangnya memukul pelajar mereka,” katanya.

“Bayangkan, hanya disebabkan kejadian ini, anak saya sekarang trauma dan enggan ke sekolah. Ini boleh menjejaskan pelajarannya,” katanya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Berita Harian Online: 28 Oktober 2009

Guru berusia hampir separuh abad disyaki mencabul murid tahun 2

GEORGETOWN: “Harapkan pagar, pagar makan padi”. Itulah yang berlaku apabila seorang guru yang sepatutnya memberi contoh yang baik kepada pelajarnya, sebaliknya mencalit peristiwa hitam apabila sanggup mencabul kehormatan seorang pelajar perempuan berusia lapan tahun.

Lebih memalukan, guru lelaki berusia 47 tahun itu sanggup bertindak rakus apabila meraba dan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan mangsa.

Murid tahun dua di sebuah sekolah rendah di daerah Seberang Prai Selatan (SPS) itu menjadi mangsa cabul dan seks oral guru sekolahnya, Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner II, Wan Abdullah Tuanku Said, mengesahkan kejadian itu.

myMetro: 21 November 2009

Dihalau dari asrama-Tindakan warden menyebabkan ibu bapa kelam-kabut

SMK Tunku Abdul Malik yang menjadi tumpuan ibu bapa malam kelmarin selepas calon-calon SPM di situ dihalau dari asrama gara-gara pertelingkahan antara seorang penghuni dengan warden.

ALOR SETAR - Sekumpulan ibu bapa dan penjaga calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik di sini bingung selepas anak- anak mereka diarah keluar dari asrama sekolah itu serta-merta malam tadi, akibat salah faham antara warden dengan salah seorang pela- jar.

Mohd. Yusli Saad, 43, dari Bayan Lepas, Pulau Pinang pula berkata, beliau terkejut apabila menerima panggilan telefon daripada anaknya yang mengatakan mereka diarah keluar dari asrama serta-merta malam kelmarin.

BEBERAPA orang pelajar menunggu ketibaan ahli keluarga masing-masing selepas diarah meninggalkan asrama SMK Tunku Abdul Malik, Alor Setar malam kelmarin.

"Saya menelefon Penolong Kanan Hal Ehwal Murid sekolah itu untuk penjelasan, namun beliau menafikan ada arahan (keluar asrama) tersebut.

"Mungkin ada masalah komunikasi antara pelajar dan penyelia asrama itu, namun perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana mereka menghadapi peperiksaan penting,'' katanya.

Kosmo Online: 6 Disember 2009

Bekas guru besar disaman guru

ALOR SETAR - Pada Oktober tahun lalu, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang di Kuantan, Pahang menyaman pengetuanya dan menuntut ganti rugi sebanyak RM228,000 kerana mendakwa pengetuanya telah menjejaskan reputasinya.

Pada tahun ini, ketika sesi persekolahan baru bermula 20 hari, budaya menyaman membabitkan guru dilihat semakin menular dalam institusi pendidikan di negara ini.

Semalam di Mahkamah Tinggi di sini, sepasang guru memfailkan saman berjumlah RM1.5 juta terhadap dua bekas guru besar mereka yang telah bersara dan seorang pegawai di Jabatan Pelajaran Kedah kerana mendakwa dianiaya sehingga menyebabkan mereka mengalami masalah mental yang dahsyat.


Pasangan suami isteri itu ialah Mohd. Afandi Abd. Hamid, 39, plaintif pertama manakala isterinya Roziaini Mohd. Rozi, 38, plaintif kedua.

Kedua-dua plaintif menamakan Munajat Tamrin, pegawai di Jabatan Pelajaran sebagai defendan pertama.

Noriah Murad, bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Setar, Jalan Langgar tempat Roziaini mengajar pada tahun 2004, defendan kedua.

Defendan ketiga, Abdul Aziz Hanifa, bekas guru besar SK Iskandar, Alor Setar tempat Mohd. Afandi bertugas pada 2004.

Kosmo Online: 25 Januari 2010

Guru geram pelajar kata...celaka cikgu

KOTA BHARU: Kerana mengeluarkan perkataan ‘celaka cikgu’, seorang pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah di sini, trauma selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa ‘amuk’ seorang guru dalam kejadian pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 pagi itu, mangsa dikatakan baru pulang dari tandas sebelum diminta mengeluarkan buku nota oleh guru terbabit. Bagaimanapun, mangsa yang belum sempat berbuat demikian tergamam apabila guru berkenaan secara tiba-tiba menarik kerusinya hingga terjatuh sebelum menarik baju serta mencekik bahagian mulut dan belakang lehernya.


Difahamkan, guru yang mendakwa terdengar mangsa mengeluarkan perkataan biadap itu kemudian merotannya sebanyak dua kali sebelum guru besar tiba ke kelasnya.


Menurut bapa mangsa, Lua Boon Hoe, 40, dia hanya mendapat tahu perkara itu pada hari berikutnya selepas dimaklumkan anak perempuannya yang berada di tingkatan lima di sekolah sama. Katanya, dia terkejut dengan kejadian itu dan meminta anaknya itu menceritakan perkara sebenar. “Saya tidak tahu kejadian itu sehinggalah anak perempuan secara tidak sengaja menceritakan perkara itu ketika makan malam pada Jumaat lalu.


“Saya memaksanya memberitahu perkara sebenar yang berlaku pada adiknya dan dia juga ada mengambil gambar kecederaan itu menggunakan telefon bimbit sebelum kami membuat laporan polis,” katanya.


Kesal dengan kejadian itu, dia membawa anaknya membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu pada jam 1.29 pagi, Sabtu lalu.

Sejurus membuat laporan itu, anaknya kemudian membuat pemeriksaan perubatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan diminta menunggu selama dua minggu untuk diberi laporan perubatan.


Selain itu, Lua berkata selepas membuat laporan itu dia berjumpa dengan guru besar sekolah untuk mendapatkan penjelasan dan diberitahu kejadian itu akan disiasat pihak sekolah.


Bagaimanapun, permintaannya untuk berjumpa guru terbabit ditolak dan dia hanya dibenarkan berurusan dengan guru besar saja.


“Semalam saya sekali lagi ke sekolah berjumpa dengan guru terbabit. Dia memaklumkan terdengar anak saya cakap ‘celaka cikgu’ yang dianggap biadap dan mengakui merotannya tiga kali.


“Bagaimanapun, saya kesal kerana dia berkata tiada saksi yang mendengar anak saya bercakap seperti itu kepadanya. Dia juga hanya mengaku merotan anak saya dengan perlahan tetapi tidak melakukan perkara lain termasuk mencekiknya,” katanya.


Dia berkata, selepas kejadian itu anaknya tetap ke sekolah seperti biasa tetapi masih dirundung trauma dan rasa takut.


“Saya kecewa dengan kejadian ini kerana sebagai seorang guru, dia tidak boleh bertindak demikian dan merancang mengambil tindakan undang-undang menyaman guru terbabit,” katanya. Sementara itu, Pengarah Pelajaran negeri, Ghazali Ab Rahman berkata pihaknya akan meneliti perkara itu dengan mendapatkan laporan kejadian daripada sekolah terbabit.


Katanya, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap guru terbabit sekiranya didapati bersalah.

myMetro: 10 Februari 2010

Guru agama didakwa cabul murid

MUAR 12 Feb. - Seorang guru agama dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat tuduhan mencabul kehormatan empat murid perempuan berusia 10 tahun di sebuah sekolah rendah di Sagil, Ledang.

Bagi keempat-empat tuduhan itu, Samsul Bahri Saleh, 36, didakwa melakukan perbuatan tersebut di dalam bilik darjah di sekolah tersebut antara tahun lalu dan 8 Februari ini.

Pendakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Samsul Bahri mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan dan mohon dibicarakan.

Pendaftar Mahkamah Sesyen Muar, Nor'iza Mohamed menetapkan ikat jamin berjumlah RM24,000 bagi keempat-empat pertuduhan dan tarikh sebutan semula pada 15 April ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Fadhli Sutris manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Utusan Malaysia Online: 13 Februari 2010

Tak layan rayuan cikgu pondan

MELAKA: “Abang...tolong lepaskan saya bang, saya tak bersalah...saya (janji) tak buat lagi!“ Itulah rintihan seorang guru lelaki sebuah sekolah rendah di daerah Melaka Tengah kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), ketika ditahan kerana berlagak seperti wanita di kawasan tumpuan pondan di Taman Astakona atau lebih dikenali ‘Taman Asmara’, Bandar Hilir awal pagi semalam.
DICEKUP...kakitangan Jaim bersama anggota MBMB menahan seorang guru lelaki berpakaian wanita, awal pagi semalam.
DICEKUP...kakitangan Jaim bersama anggota MBMB menahan seorang guru lelaki berpakaian wanita, awal pagi semalam.
Operasi cegah maksiat bermula jam 2 pagi itu turut dilakukan di kawasan pasangan berdua-duaan di dalam kereta dan pusat hiburan yang beroperasi lebih masa sekitar Taman Merdeka, Bukit Rambai, Pantai Klebang, Bachang, Bukit Beruang dan di kawasan Jalan Tun Ali dan Jalan Kilang.

Ia dianjurkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan diketuai Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Komunitinya, Mohd Derus Tompang dan turut disertai Polis Tentera.

Terdahulu, lelaki berusia 40 tahun dan mendakwa secara lisan kepada pegawai Jaim dia seorang guru Sains dan Matematik di Bukit Rambai itu cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa agama kira-kira jam 4.25 pagi semalam.

Namun, beliau yang ketika itu memandu kereta Proton Gen-2 gagal memboloskan diri berikutan jalan keluar dari taman itu disekat di lorong belakang Medan Selera Samudera, Bandar Hilir oleh kereta penguat kuasa. Dia yang bertubuh besar dan berambut pendek ditahan sekumpulan penguat kuasa Jaim selepas berlaku pergelutan, manakala ‘teman lelakinya’ dapat melepaskan diri.

Selepas berkali-kali merayu dan merintih, lelaki terbabit yang berasal dari Taman Desa Baru, Batu Berendam dekat sini, akhirnya pasrah apabila menyedari pegawai Jaim tidak termakan pujukan itu.

Wartawan akhbar ini yang mengikuti operasi bersepadu itu mendapati guru terbabit mengenakan gaun pendek bercorak bunga dengan mendedahkan bahagian dada dan paha serta memakai rambut palsu dan selipar labuci.

Dia kemudiannya digari dan selepas soal jawab serta dokumen peribadinya diperiksa, dia dibawa menaiki keretanya sendiri yang dipandu anggota Jaim ke Balai Polis Melaka Tengah.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, lelaki terbabit yang sudah diambil keterangannya dan dibebaskan dengan jaminan selepas dikeluarkan saman hadir di mahkamah.

Beliau berkata, lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991 kerana berlagak seperti wanita, jika disabitkan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali.

Rahimi, berkata, Jaim turut menahan dua pasangan pelajar institusi pengajian tinggi di Johor yang tidur di dalam kereta berasingan berdekatan Medan Selera Samudera.

myMetro: 16 Februari 2010

Cikgu pondan mungkin dipindah

MELAKA: Guru lelaki berusia 41 tahun yang dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) malam kelmarin, atas kesalahan berkelakuan tidak senonoh, berkemungkinan dikenakan tindakan tatatertib termasuk ditukarkan tempat kerja jika terbukti melakukan kesalahan berlagak perempuan.
Pengarah Pelajaran negeri, Isa Abu, berkata beliau perlu menunggu laporan lengkap berhubung siasatan terhadap guru sekolah rendah terbabit sebelum sebarang tindakan susulan diambil. “Saya akan mendapatkan laporan lengkap dan terperinci mengenai perkara berkenaan sebelum buat sebarang keputusan.

Saya juga akan meneliti siasatan berhubung butiran peribadi lelaki itu sama ada beliau benar-benar seorang guru. “Jika terbukti beliau seorang guru dan melakukan kesalahan kita akan tentukan apakah bentuk tindakan disiplin dan tatatertib yang bersesuaian,” katanya, ketika diminta mengulas laporan akhbar ini semalam berhubung seorang guru sekolah rendah di Bukit Rambai, dekat sini ditahan penguat kuasa Jaim kerana didapati berlagak wanita di Taman Astakona, Bandar Hilir, dekat sini, awal pagi kelmarin. Isa berkata kejadian berkenaan adalah yang kedua dilaporkan media selepas kes membabitkan seorang guru yang ditahan bersama 15 pondan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) pada 25 Julai 2008, kerana menyertai pertandingan ratu cantik ‘mak nyah’ di sebuah pusat peranginan di Bachok, Kelantan.

myMetro: 17 Februari 2010

Guru edar dadah idam hidup mewah

BATU PAHAT: Seorang guru sains di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, di sini, ditahan polis, Rabu lalu selepas dipercayai mengedar dadah secara sambilan kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan bergaya.

Guru lelaki berusia 31 tahun itu baru berjinak-jinak dalam pengedaran dadah kira-kira dua bulan lalu dan menggunakan kereta Proton Savvy miliknya untuk menghantar sendiri bekalan apabila menerima tempahan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ibrahim Mohd Aris, berkata kegiatan guru lelaki itu akhirnya dihidu polis apabila dia ditahan kira-kira jam 10 malam dalam satu sekatan jalan raya di sekitar daerah ini, Rabu lalu.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat seorang guru menjadikan keretanya sebagai tempat

menyimpan dan membawa bekalan dadah kepada pelanggan.

Katanya, dalam sekatan jalan raya itu, kenderaan guru terbabit ditahan polis dan hasil pemeriksaan yang dilakukan polis menemui satu paket dadah dipercayai jenis heroin seberat 16.6 gram di dalam keretanya.

"Pemeriksaan ke atas lelaki itu mendapati dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. Namun, dia mengaku menjual dadah dengan alasan mahu menambah pendapatan. Hasil siasatan juga mendapati guru berkenaan masih bujang dan sudah mengajar di SJKC itu sejak sembilan tahun lalu," katanya di sini, semalam.

Ibrahim berkata, lelaki terbabit kini ditahan reman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, empat lelaki ditahan di sebuah rumah di Kampung Solok Wan Moh, di sini, pada jam 1.40 pagi kelmarin, selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah.

"Hasil maklumat orang ramai, polis membuat serbuan di rumah itu dan menahan empat lelaki berusia antara 24 dan 33 tahun.

"Pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan dua paket dadah dipercayai heroin seberat 528 gram bernilai kira-kira RM14,000. Semua lelaki itu kini ditahan reman bagi membantu siasatan yang dilakukan mengikut Seksyen 39B ADB 1952," katanya.

Berita Harian Online: 20 Februari 2010

POlis, guru antara 44 ditahan di pusat hiburan

KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis dan guru adalah antara 44 orang yang ditahan kerana memiliki dan didapati positif dadah ketika sebuah pusat hiburan yang terletak di kawasan perumahan di Tanjung Malim, Perak diserbu pagi kelmarin.

Anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim itu ditahan kerana positif dadah, manakala tiga lagi rakannya yang juga anggota polis turut ditahan kerana berada di pusat itu.

Tiga anggota polis itu bakal berdepan tindakan tunjuk sebab berhubung tujuan mereka berada di pusat hiburan berkenaan.

Operasi kira-kira jam 4.45 pagi oleh sepasukan anggota polis dari Bukit Aman yang diketuai Deputi Superintendan Aida Abdul Hamid menyerbu pusat hiburan yang terletak di kawasan rumah kedai dua tingkat, Bandar Behrang 2020, Tanjung Malim serta menahan 44 orang, termasuk 14 wanita kerana positif dadah jenis syabu, ecstacy dan ketamin.

Sumber polis berkata, guru berusia 27 tahun dari Sekolah Kebangsaan Trolak itu ditahan kerana memiliki dadah ecstacy.

Turut ditahan dalam serbuan itu ialah dua lagi lelaki, termasuk pengurus pusat hiburan berkenaan kerana memiliki dan menjual dadah kepada pengunjung pusat terbabit.

Polis juga mengesan taktik pengunjung pusat itu yang membawa sampel air kencing dari luar yang dipercayai bebas dadah bertujuan untuk digunakan ketika serbuan dibuat.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Slim River untuk tindakan lanjut dan bagi pengunjung yang disahkan positif dadah akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala pengunjung yang ditahan kerana memiliki dadah akan disiasat mengikut Seksyen 39B akta sama.

Sumber itu berkata, serbuan yang berakhir kira-kira jam 7 pagi itu dilakukan selepas polis menerima laporan daripada penduduk setempat berhubung kewujudan pusat hiburan yang beroperasi sehingga jam 7 pagi setiap hari sehingga mengganggu ketenteraman awam di kawasan sekitar serta dibuka berhampiran dengan Masjid Behrang.

Polis juga sedang menyiasat lesen pusat hiburan itu yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Pusat hiburan itu juga sebelum ini dikatakan pernah diserbu dua kali oleh polis daripada IPD Tanjung Malim pada 13 dan 16 Februari lalu dan berjaya menahan tiga pengunjung yang disahkan positif dadah.

Sementara itu, seorang lelaki bertindak melarikan diri ke atas bumbung sebuah bangunan tiga tingkat yang menempatkan pusat karaoke di ibu negara selepas pusat itu diserbu sepasukan polis dari Bukit Aman kira-kira jam 1.30 pagi semalam.

Lelaki berusia 45 tahun itu, bagaimanapun berjaya ditahan polis dan hasil pemeriksaan polis menemui beberapa biji pil dadah dipercayai eramin 5 untuk dijual kepada pengunjung pusat itu dan sejumlah wang tunai.

Lelaki itu ditahan bersama-sama 39 pengunjung lain yang terdiri daripada 31 lelaki dan lapan wanita termasuk seorang remaja perempuan berusia bawah 18 tahun. Ketika pemeriksaan, kira-kira 100 pengunjung berada di pusat itu dan kesemua yang ditahan di bawa ke IPD Cheras untuk siasatan lanjut.

Pusat itu yang dibuka sejak setahun lalu dipercayai menjadi tumpuan golongan elit serta menjadi tempat pengedaran dadah di kalangan pengunjung pusat berkenaan. - Bernama

Berita Harian Online: 21 Februari 2010

visitors...

Followers

myblackforest

myraspberry...


This Flash Player was created @ FlashWidgetz.com.

http://www.flashwidgetz.com/playlist/PLTP8YIT38BU131AHE